SHAH ALAM: Sebuah kilang sabun dekat Seri Kembangan, dipercayai menggunakan logo halal secara tidak sah diserbu pihak berkuasa dalam Operasi (Op) Bersepadu, hari ini.
Dalam serbuan yang dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya merampas 31,140 unit sabut pencuci.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, serbuan yang bermula pada pukul 11.25 pagi tadi turut menyita 40,000 unit plastik pembungkusan.
Katanya, operasi itu dijalankan hasil maklumat awam yang diterima berhubung penggunaan logo halal yang tidak sah pada produk yang dibungkus oleh syarikat berkenaan.
“Kilang tersebut didapati memasarkan produk sabun pencuci secara dalam talian. Hasil pemeriksaan dan serbuan mendapati, kilang berkenaan disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan.
“Susulan operasi tersebut, KPDN Selangor menyita sebanyak 31,140 unit sabun pencuci, 40,000 unit plastik pembungkusan serta beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh pihak yang berwibawa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, keseluruhan barangan dirampas dianggarkan bernilai RM215,700 dan lima pekerja asing dan seorang pengarah syarikat warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
“Lima warga asing diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, satu kes diambil tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal), Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu di bawah subperenggan 8(b) Perintah sama,” ujarnya.
Katanya lagi, sekiranya disabitkan kesalahan, syarikat terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 untuk kesalaan kedua.
Jika kesalahan tersebut dilakukan individu, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Sementara kesalahan kedua, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDN Selangor menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan logo halal demi memastikan kepentingan pengguna dilindungi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan logo halal boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran Whatsapp 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800, Emel [email protected] atau melalui Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. – UTUSAN




