LATEST

Kerajaan Selangor sumbang RM100,000 kepada SMK Taman Melawati

Kerajaan Selangor sumbang RM100,000 kepada SMK Taman Melawati

lokman.khairi@hmetro.com.my

Gombak: Kerajaan Negeri Selangor menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati pada Majlis Makan Malam Amal Kasih anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu akan disalurkan melalui Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bagi membantu penambahbaikan serta pembinaan kemudahan sekolah.

Menurutnya, kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap sektor pendidikan dengan pelaburan berterusan bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Pelaburan terbesar negeri ini adalah dalam sumber daya manusia dan ia digembleng melalui pendidikan.

“Sebab itu saya sendiri memegang portfolio pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan di Selangor sentiasa bersedia melahirkan generasi masa depan yang cemerlang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas; Pengetua SMK Taman Melawati, Dr Jagdave Singh Avtar Singh dan Yang Dipertua PIBG sekolah, Abdul Majid Mohd Yusoff.

Amirudin berkata, Selangor merekodkan hampir satu juta pelajar daripada peringkat prasekolah hingga pra universiti, sekali gus menjadikan negeri itu antara yang mempunyai jumlah pelajar tertinggi di negara ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri sejak 2018 memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor termasuk memperluas Program Tuisyen Rakyat Selangor.

“Pada masa ini, lebih 160,000 pelajar tingkatan empat dan lima menikmati tuisyen percuma dengan peruntukan kira-kira RM10 juta setahun.

“Kita sasarkan jumlah itu meningkat kepada 200,000 pelajar menjelang 2027,” katanya.

Amirudin berkata, bermula 2026, kerajaan negeri akan menaja kira-kira 4,000 pelajar Selangor daripada golongan B40 dan M40 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS), dengan 50 peratus kos pengajian ditanggung kerajaan negeri.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan sumbangan berjumlah RM85,000 oleh tiga syarikat korporat iaitu Perbudi Sdn Bhd, Jasarimba Sdn Bhd dan Impa Group.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news