Pesawat hilang di Sulawesi: Pasukan SAR berdepan cabaran topografi pergunungan karst, cuaca tidak menentu

Pesawat hilang di Sulawesi: Pasukan SAR berdepan cabaran topografi pergunungan karst, cuaca tidak menentu

Makassar: Gabungan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini melancarkan operasi besar-besaran untuk mengesan pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan pergunungan Puncak Bulusaraung, Sulawesi Selatan.

Portal berita Indonesia, Antara News, melaporkan operasi dikoordinasikan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) itu membabitkan penyelarasan pelbagai agensi, termasuk Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Indonesia (POLRI) serta kumpulan sukarelawan, dalam usaha pencarian di kawasan muka bumi yang mencabar.

Ketua Pejabat BASARNAS Makassar, Muhammad Arif Anwar, berkata strategi SAR dibahagikan kepada beberapa Unit Mencari dan Menyelamat (SRU) bagi memastikan liputan kawasan lebih menyeluruh.

SRU Darat membabitkan anggota penyelamat yang dikerah melakukan pendakian dan penyisiran fizikal di cerun curam Puncak Bulusaraung, manakala pemantauan udara menggunakan dron berkuasa tinggi digerakkan untuk menembusi kawasan lembah yang tidak dapat dicapai oleh pasukan darat.

Sebuah helikopter jenis Caracal daripada Angkatan Udara TNI pula melakukan tinjauan dari ruang udara bagi mengesan sebarang tanda serpihan atau isyarat kecemasan.

Misi SAR kini tertumpu sepenuhnya kepada titik koordinat terakhir yang dikesan AirNav Indonesia, iaitu di kawasan hutan tebal yang menghubungkan daerah Maros dengan Pangkep.

Pasukan penyelamat berdepan cabaran getir berikutan keadaan topografi pergunungan karst yang tajam serta faktor cuaca yang tidak menentu.

“Kami mengutamakan kepantasan dalam operasi ini, namun faktor keselamatan anggota SAR juga menjadi pertimbangan memandangkan kawasan Puncak Bulusaraung mempunyai kecuraman yang ekstrem,” kata Muhammad Arif.

Pesawat yang hilang itu dilaporkan disewa oleh Pejabat Kesihatan Pelabuhan (KKP) dengan membawa 11 orang membabitkan lapan anak kapal dan tiga penumpang.

Pesawat dikendalikan oleh Kapten Andy Dahananto itu dilaporkan terputus hubungan pada jam 1.17 tengah hari waktu tempatan (WITA) ketika dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar.

Pihak berkuasa mengesahkan ketika kejadian, radar cuaca menunjukkan kehadiran awan kumulonimbus yang tebal di laluan penerbangan itu, yang berkemungkinan besar menyulitkan navigasi pesawat.

Hingga kini, pusat operasi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin terus memantau perkembangan setiap unit di lapangan.

Tiada sebarang penemuan fizikal dilaporkan, setakat ini, dan operasi akan diteruskan mengikut protokol SAR yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top