Kerajaan teliti pinda akta pesalah bayar pampasan kepada waris mangsa kemalangan

Kerajaan teliti pinda akta pesalah bayar pampasan kepada waris mangsa kemalangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang meneliti cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya atau waris yang sah.

Cadangan itu bertujuan mewujudkan peruntukan khusus di bawah Akta 333 bagi memastikan mangsa atau waris berhak menerima pampasan melalui perintah mahkamah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata terdapat keperluan dasar untuk menambah baik Akta 333 supaya kerangka keselamatan jalan raya negara bukan sahaja memberi penekanan kepada hukuman terhadap pesalah, tetapi turut menyediakan mekanisme pembelaan yang lebih jelas kepada mangsa dan waris.

“Cadangan ini bukan bertujuan untuk menggantikan tindakan sivil, tuntutan insurans atau apa-apa peruntukan undang-undang lain yang tersedia kepada mangsa atau waris.

“Sebaliknya, cadangan ini bertujuan mewujudkan punca kuasa khusus di bawah Akta 333 bagi membolehkan mahkamah, dalam prosiding jenayah jalan raya, memerintahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris yang sah.

“Pada masa sama, pembelaan kepada mangsa selepas kemalangan berlaku perlu disokong oleh mekanisme pencegahan yang lebih berkesan.

“Dalam hubungan ini, Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) adalah instrumen penting untuk mengawal tingkah laku pemandu, mengenal pasti pemandu berisiko tinggi dan mendisiplinkan pesalah berulang sebelum kesalahan jalan raya membawa kepada kehilangan nyawa” katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang meminta menyatakan sama ada kerajaan bercadang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperkenalkan hukuman yang lebih tegas dan menggerunkan terhadap pemandu mabuk.

Ia memandangkan kesalahan terbabit terus meragut nyawa serta menunjukkan hukuman sedia ada masih gagal memberi kesan pencegahan yang mencukupi.

Disamping itu, Loke berkata, kementerian sentiasa melaksanakan kajian secara berterusan dari semasa ke semasa bagi terus memperkukuh kerangka keselamatan jalan raya negara secara lebih menyeluruh terhadap undang-undang yang berkaitan di bawah Akta 333.

“Ia bagi memastikan hukuman adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan dan memberi kesan pencegahan yang berkesan.

“Cadangan pindaan Akta 333 bukan sahaja mengekalkan pendekatan tegas terhadap pesalah jalan raya, tetapi turut memperkenalkan mekanisme pembelaan yang lebih jelas kepada mangsa dan waris,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top