Kerana aksi 'superman', warga Singapura terlepas program RXZ Members 8.0

Kerana aksi 'superman', warga Singapura terlepas program RXZ Members 8.0

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Padah melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal seorang lelaki warga Singapura, ditahan ketika dalam perjalanan bagi menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 kira-kira 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kerana didapati memandu secara melulu.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha RXZ ditahan oleh anggota JSPT Terengganu di Kilometer 403 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan dalam perjalanan menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

“Lelaki itu didapati melakukan aksi ‘superman’ ketika semasa menunggang motosikal dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan mengikut akta berkenaan.

Menurutnya, polis menasihati pengguna jalan raya termasuk peserta program RXZ Members 8.0 supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top