am@hmetro.com.my
Muar: Kemalangan yang meragut nyawa dua rakan karib di Jalan Salleh-Bukit Pasir, di sini, hari ini berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu merempuh bas kilang.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati bas kilang membawa 20 pekerja dalam perjalanan dari arah Bukit Pasir menuju ke Tanjung Agas.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kereta dinaiki dua lelaki dipercayai memasuki laluan bas dan terseret ke laluan asal.
“Polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 6.20 pagi berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran lampu isyarat menghala ke Bukit Pasir.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta masing-masing berusia 21 tahun cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu bas kilang berusia 49 tahun serta 20 penumpang yang juga pekerja kilang tidak cedera.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




