Kereta perisai tambahan akan dibawa kawal sempadan

Kuala Lumpur: Susulan serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Bukit Aman bakal mengerahkan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta kenderaan perisai tambahan ke sempadan Malaysia-Thailand.

Kejadian tembakan di Bukit Kayu Hitam petang semalam adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden membabitkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa lalu.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang semalam, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terkena tembakan.

Difahamkan, anggota terbabit mengalami kecederaan ringan pada perut selepas ditembak dari arah negara jiran terkena baju kalis pelurunya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, serangan itu tidak melunturkan semangat pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan berkenaan.

“Selain Unit Komando 69, kita juga mengerahkan pasukan dari JSJ dan JSJN ke kawasan sempadan untuk mematahkan aktiviti kumpulan penyeludup berkenaan.

“Hasil tindakan pantas kita membuahkan hasil apabila Polis Kedah yang berjaya merampas lebih 100 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM10 juta malam semalam yang dipercayai dibawa masuk dua lelaki Thailand di kawasan Padang Sanai,” katanya.

 

ZA137 Malay News

National Desk