Hazama 'berkurung' demi jaga kesihatan menjelang AJL40

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cuaca panas dan jerebu yang melanda negara ketika ini menjadi cabaran utama buat penyanyi, Hazama dalam memastikan tahap kesihatan serta vokalnya berada dalam keadaan baik menjelang Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), Sabtu ini.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 42, berkata keadaan persekitaran berjerebu memberi kesan langsung kepada suara, malah dia kini mengalami suara garau.

“Bila tekanan menghadapi pertandingan, badan kita secara automatik jadi panas. Ia boleh menjadi punca kurang tidur dan banyak berfikir, ia memang boleh ‘trigger’ kesihatan.

“Asap jerebu boleh menyebabkan tekak berkahak dan suara jadi garau. Sebab itu minggu ini saya ambil langkah berkurung di rumah dan tak keluar ke mana-mana lepas habis kerja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hazama, disiplin tinggi amat diperlukan bagi mengelakkan suaranya terjejas menjelang malam kemuncak itu. Selain mengehadkan aktiviti luar, dia turut mengambil inisiatif meminum air dengan banyak untuk menjaga peti suaranya.

Di samping menjalani latihan untuk pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu, Hazama kini memberikan tumpuan 100 peratus terhadap persiapan AJL40.

Pada edisi kali ini, Hazama mempertaruhkan lagu Semacam Pandora ciptaan bersama isterinya, Genervie Kam, Ritz Metalasia, dan penulis lirik Zel Hadauan.

Bukan itu sahaja, sentuhan penulisannya menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa turut bersaing di pentas sama menerusi nyanyian Marsha Milan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top