Unit berkuda mulakan rondaan di sempadan

Perlis: Unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memulakan tugasan bagi membantu operasi ronda mencegah penyeludupan sempadan negara.

Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM, DSP Nurhidayah Damanhoori berkata 19 anggota dan seorang pegawai dengan kekuatan lapan ekor kuda telah mula melakukan rondaan bagi membantu Op Benteng, dengan radius rondaan melibatkan jarak 20 kilometer di kawasan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata rondaan berkuda dilakukan setiap hari bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang, manakala giliran kedua bermula dari pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang, dan menurutnya lokasi penugasaan unit itu bergantung kepada keadaan dan perkembangan dari se masa ke semasa.

“Kami datang awal bagi melakukan tinjauan kawasan penugasan, dan akan memastikan tugas yang diberikan dapat dilakukan dengan baik… Alhamdulillah semua kuda tidak mempunyai masalah kerana ianya kuda terlatih dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain unit berkuda, elemen PDRM lain yang turut membantu tugas rondaan sempadan Op Benteng melibatkan unit udara, kereta perisai dan Vat 69 (Komando)

 

Sumber : Bernama

Malay News

National Desk