‘Kerjasama PN-BN berpotensi untuk diteruskan’ – Ahmad Samsuri

‘Kerjasama PN-BN berpotensi untuk diteruskan’ – Ahmad Samsuri

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang sekiranya kerjasama yang dijalin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberikan keputusan positif.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap pilihan raya akan dinilai bagi membolehkan kedua-dua gabungan melakukan penambahbaikan pada masa hadapan.

“Ya, sudah tentu apabila kita berdepan dalam sesuatu pilihan raya, kita sentiasa melakukan penambahbaikan dan jika keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi supaya pada pilihan raya yang berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail di sini pada Khamis.

Menurut beliau, jajaran politik baharu itu berpotensi mewujudkan kestabilan politik yang lebih baik serta memberi nafas baharu kepada landskap politik negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa manifesto PN kemungkinan akan dibuat secara bersama dengan BN.

Bercakap mengenai barisan calon PN, Ahmad Samsuri berkata, ia dibarisi oleh muka baharu dan lama yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalaman dalam pentadbiran.

“Ini dapat memberikan kepelbagaian apabila kita menjadi kerajaan di Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Scroll to Top