Ipoh: Kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu keadaan sebenar di Hospital Kampar sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan dibangkitkan mengenai isu kebocoran dan fasiliti hospital berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A. Sivanesan berkata beliau akan mengadakan lawatan ke hospital itu minggu depan bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai situasi sebenar.
“Saya akan buat lawatan ke Hospital Kampar minggu hadapan untuk lihat sendiri keadaan hospital terbabit sebelum membuat seberang komen.
“Apa yang difahamkan oleh saya adalah keadaan di Hospital Kampar tidak begitu serius seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak mahu bergantung kepada dakwaan individu semata-mata tanpa semakan dan laporan daripada pihak berkaitan.
Terdahulu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak menerusi satu kenyataan media mendakwa berlaku kebocoran di Hospital Kampar sehingga menjejaskan beberapa bahagian hospital termasuk wad dan Unit Kecemasan serta Trauma hospital terbabit.
Sebelum ini tular di media sosial terdapat kebocoran bumbung di hospital tersebut sehingga menjejaskan pesakit ketika cuaca hujan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




