Farhash terus kekal bersama perjuangan reformasi – Penganalisis

Farhash terus kekal bersama perjuangan reformasi – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan sebagai antara individu yang kekal setia bersama perjuangan reformasi dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meskipun berdepan pelbagai cabaran serta pergolakan politik sepanjang perjalanan kariernya.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Dr Nor Syamimi Mohamed Adnan berkata, Farhash sebelum ini dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya sebelum terlibat secara lebih aktif dalam arena politik.

Menurutnya, latar belakang tersebut menyebabkan ada pihak melihat penglibatan Farhash dalam PKR bukan didorong oleh kepentingan kedudukan atau kekayaan semata-mata, sebaliknya berpaksikan keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar.

“Namun seperti mana-mana tokoh politik lain, penilaian terhadap Farhash juga datang dengan pelbagai pandangan.

“Ada yang menghargai kesetiaan serta sumbangannya kepada perjuangan reformasi, manakala ada juga yang mengkritik beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengannya.

“Justeru, sejarah dan sumbangan beliau wajar dinilai secara adil berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan serta sumbangan yang telah diberikan kepada parti dan negara,” katanya pada Jumaat.

Beliau mengulas polemik yang terus mengaitkan nama Farhash dalam perdebatan politik semasa.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi dilaporkan menggesa Anwar supaya berhenti menggunakan istilah ‘sakau’ selagi isu yang dikaitkan dengan Farhash tidak dijelaskan secara tuntas.

Mengulas lanjut, Nor Syamimi berkata, perjalanan politik beberapa tokoh yang pernah berada dalam kelompok reformasi menunjukkan hala tuju berbeza selepas mencapai kedudukan tertentu dalam politik negara.

Katanya, Mohamed Azmin Ali misalnya dilihat semakin rapat dengan Mahathir Mohamad selepas dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan pernah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bekas Perdana Menteri itu ketika kemuncak krisis politik pada 2020.

“Begitu juga dengan Rafizi Ramli yang mengambil keputusan berehat daripada politik aktif selepas PRU14 dan memberi tumpuan kepada kerjaya korporat serta perniagaan.

“Beliau sendiri pernah menjelaskan keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan perkembangan politik dalaman selain memerlukan masa untuk memulihkan semangat sebelum kembali aktif dalam politik,” katanya.

Tambah beliau, dalam landskap politik yang sentiasa berubah, kesetiaan seseorang pemimpin terhadap perjuangan asal yang dibawa sejak awal pembabitan mereka sering menjadi antara ukuran yang dinilai oleh penyokong dan pemerhati politik.

Scroll to Top