nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Subang, Selangor, sudah dilengkapkan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
“Bagi semua enam suspek yang ditahan sebelum ini, mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan enam suspek termasuk tiga anggota polis ditahan selepas pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan bahan api berkenaan membabitkan kerugian RM105,000 pada 15 Julai lalu.
Enam lelaki berusia antara 31 dan 55 tahun berkenaan termasuk tiga anggota polis terbabit ditahan sehari selepas kejadian itu dilaporkan.
Pihak polis juga dilaporkan sudah merakam keterangan sembilan saksi bagi membantu sisatan kes berkenaan.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berhubung kes terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
