Kerugian UiTM Holdings bukan isu yang tidak diketahui – Bekas Naib Canselor

Kerugian UiTM Holdings bukan isu yang tidak diketahui – Bekas Naib Canselor

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Masalah kewangan membelenggu syarikat pegangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Holdings Sdn Bhd sehingga kerugian jutaan ringgit bukan isu tidak diketahui pengurusan universiti, sebaliknya pernah dibincangkan dan dipantau di peringkat tertinggi.

Bekas Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata pengurusan UiTM Holdings diwajibkan membentang laporan kewangan secara berkala kepada lembaga pengarah syarikat sebelum dibawa kepada pengurusan dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

“Memang pihak pengurusan menyedari hal berkenaan dan isu krisis yang dialami UiTM Holdings ini pernah dibincangkan di peringkat pengurusan universiti.

“Mereka juga sudah diaudit oleh pasukan audit khas dan juga oleh Jabatan Audit Negara. Cuma ketika memegang jawatan naib canselor, saya minta setiap pelaburan dan projek di bawah UiTM Holdings dibentangkan.

“Ketika itu ia tidak dikenal pasti sebagai memberi kesan kepada penyediaan kemudahan kerana ia diperuntukkan menerusi geran kerajaan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga sangat prihatin mengenai hal syarikat pegangan universiti ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roziah berkata, masyarakat perlu memahami bahawa UiTM Holdings adalah syarikat pegangan milik universiti dan modal permulaan penubuhannya bukan daripada sumbangan atau peruntukan langsung kerajaan.

Sebaliknya, katanya, modal berkenaan berasal daripada dana terkumpul dalaman yang dijana dan dikutip oleh universiti.

Beliau berkata, mekanisme kawal selia bagi memantau tadbir urus dan risiko pelaburan turut diwujudkan di peringkat tertinggi universiti.

“Tadbir urus Lembaga Pengarah UiTM, sama ada ketika zaman saya mahupun sekarang disokong oleh jawatankuasa LPU UiTM yang berperanan khas untuk memantau perjalanan serta risiko pelaburan.

“Pada pandangan saya, pihak UiTM kini menambah baik keadaan itu dan tindakan susulan semestinya sedang giat dilaksanakan oleh pengurusan serta lembaga pengarah semasa bagi menangani isu ini,” katanya.

Roziah berkata, isu kerugian UiTM Holdings perlu dilihat bersama usaha pemulihan dan penambahbaikan tadbir urus supaya kepentingan universiti terus terpelihara.

Katanya, syor penambahbaikan yang sudah dikemukakan menerusi proses audit serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu diberi perhatian dan dilaksanakan dengan segera.

PAC pada Mac 2024 mendapati UiTM Holdings dan anak syarikatnya ketika itu belum mencapai objektif serta mandat asal untuk mencipta kekayaan kepada UiTM, mewujudkan peluang pelaburan dan meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat.

PAC turut mendapati suntikan modal berjumlah RM259.98 juta oleh UiTM antara 2007 hingga 2018 bagi pemilikan saham dalam UiTM Holdings tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 kerana tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan UiTM memperketat kawal selia terhadap UiTM Holdings serta memastikan pematuhan dalam urusan pelaburan, pinjaman dan penubuhan syarikat subsidiari.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu meminta pengurusan dan tadbir urus UiTM Holdings diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau menegaskan kelemahan perlu diperbaiki, manakala tindakan tegas mesti diambil sekiranya ditemukan sebarang kecurangan.

KPT pula memaklumkan proses meneliti dan menyusun semula syarikat pegangan universiti awam, termasuk UiTM Holdings sudah bermula sejak tahun lalu bagi memastikan entiti berkenaan berfungsi lebih berkesan dan menyumbang kepada universiti masing-masing.

UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula mengesahkan siasatan yang bermula pada 2023 masih berjalan, termasuk meneliti isu berkait projek solar 50 Megawatt di Gambang, Pahang serta kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top