Kes CEO Batu: Polis tunggu laporan forensik

Kes CEO Batu: Polis tunggu laporan forensik

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang menunggu laporan forensik berhubung pempengaruh dikenali CEO Batu yang ditahan atas dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja berusia 14 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek belum dituduh dan polis sedang menunggu laporan forensik terlebih dulu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lelaki berusia 22 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sebelum ditahan reman.

CEO Batu sebelum ini dihentam teruk selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej yang didakwa berbaur lucah dihantarnya kepada remaja bawah umur.

Menerusi beberapa hantaran Caprice di ‘feed’ dan Instagram Story, dia dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual pempengaruh itu.

Antara tangkap layar dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar tidak senonoh dihantar oleh CEO Batu kepada anak wanita itu, kononnya dengan niat menunjukkan parut kesan pembedahan.

CEO Batu turut mengirimkan satu lagi mesej memohon maaf kepada ibu remaja itu dan ingin berjumpa bagi menyelesaikan isu itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top