Kes kematian Tagmo: Pemilik, pemandu bot dihukum penjara

Kes kematian Tagmo: Pemilik, pemandu bot dihukum penjara

BANGKOK: Sebuah mahkamah di wilayah Nonthaburi, Thailand menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua individu berhubung kes kematian pelakon terkenal Tangmo Nida Patcharaveerapong yang maut selepas terjatuh ke dalam sungai, Februari tahun lalu.

Lapor thethaiger.com, mahkamah mendapati pemilik bot, Thanatphat Lertthawiwit atau dikenali sebagai Por, 33, bersalah dan mengenakan hukuman penjara lima tahun lapan bulan dan denda sebanyak AS$3,784 (RM16,885).

“Bagaimanapun, mahkamah meringankan hukuman Por setelah dia memohon untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

“Setelah mengambil kira perkara itu, mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara dua tahun sembilan bulan dan denda sebanyak AS$1,892 (RM8,442).

“Por juga dikehendaki melapor diri di mahkamah dan melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama tiga tahun,” jelas laporan itu.

Dalam pada itu, mahkamah turut mendapati pemandu bot, Robert Boonchieng Pipatnuntakul juga bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun empat bulan serta denda sebanyak AS$533 (RM2,378).

“Seperti permintaan Por, Robert juga memohon untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa.

“Oleh itu, mahkamah turut mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada dua tahun dua bulan dan denda sebanyak AS$160 (RM713).

“Selain itu, Robert diperintah menjalani tempoh percubaan selama tiga tahun yang mana dia akan melapor diri di mahkamah dan menjalankan aktiviti khidmat masyarakat,” jelas laporan itu.

Mayat aktres berusia 37 tahun itu ditemukan pada 26 Februari hampir dua hari selepas mangsa didakwa terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya ketika menaiki bot laju bersama lima yang lain.

Por dan Robert didakwa mengendalikan bot tidak berlesen secara cuai hingga menyebabkan kematian mangsa.

Kes kematian Tagmo menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai spekulasi apabila video terakhir yang dirakam pengurusnya menjadi petunjuk baharu bagi merungkai kematian aktres Thailand itu.

Video yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok itu menunjukkan Tangmo sedang memegang gelas minuman sambil menyanyikan lagu dan mengusap rambutnya.

Plot kematian wanita itu terus menimbulkan persoalan selepas pengurusnya mengaku memberi kenyataan palsu mengenai apa yang berlaku di atas bot pada malam pelakon itu lemas.

Kematian Tagmo bukan sahaja menggegarkan landskap media namun menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan bakat muda dalam dunia hiburan.