mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan dakwaan dibangkitkan oleh seorang aktivis semalam berhubung dakwaan aliran masuk wang ke dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera.
Menurut sumber, pada kira-kira jam 11.30 pagi hari ini, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini.
Sumber memaklumkan bahawa fokus siasatan adalah tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
“Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan itu juga akan diteliti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan rasuah yang membabitkan seorang pegawai kanan tentera.
Beliau menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu media melaporkan, seorang aktivis mendakwa bahawa “aliran masuk tunai yang besar” dikesan dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.
Dia mendakwa audit forensik terhadap dokumen yang diterimanya mendedahkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.
Dokumen berkenaan juga didakwa menunjukkan pemindahan wang yang lebih besar, mencecah beberapa ratus ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai itu.
Aktivis itu turut mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun milik syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




