Kes simbah asid: Polis teliti kandungan telefon bimbit suspek kedua

Kes simbah asid: Polis teliti kandungan telefon bimbit suspek kedua

am@hmetro.com.my

Bachok: Polis komited dapat menyelesaikan kes pengusaha spa disimbah asid dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ini berikutan penahanan seorang lelaki dan seorang wanita di kilang getah di Kuala Krai.

Katanya, dia berharap kes itu selesai sebelum tamat tempoh tahanan reman kedua suspek penghujung Mei ini.

“Kalau seandainya habis reman, tak dapat lagi hasil (selesai kes), mungkin akan lanjut reman.

“Kita masih lagi baru tahan satu hari, masih teruskan siasatan, setakat ini belum ada pengakuan lagi, jadi kita akan teruskan siasatan lanjutlah untuk memastikan apa jua pengakuan dia (suspek),” katanya ketika ditemui di Pesta Wau di Pantai Irama, di sini, malam tadi.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya kini senang menyiasat isi kandungan telefon bimbit kedua suspek bagi siasatan lanjut.

Katanya, penemuan pertama mereka dengan suspek wanita juga terbongkar selepas dipercayai menjadi orang terakhir menghantar pesanan WhatsApp kepada mangsa, Nor Faziera Muda, 27, untuk mendapatkan khidmat di spa dan salun milik mangsa.

Bagaimanapun katanya, setakat dimaklumkan, mangsa tidak mengenali kedua suspek itu.

Berkenaan sumber asid mungkin diperoleh di kilang getah tempat suspek ditangkap, beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, Nor Faziera disimbah cecair dipercayai asid oleh tiga suspek berpakaian purdah dan satu bertopeng dalam kejadian di Beris Kubur Besar, 17 Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top