mahaizura@mediaprima.com.my
Menggabungkan pelbagai konsep dekorasi dalam sebuah kediaman bukan sesuatu yang mudah kerana jika tidak disusun dengan teliti, ruang boleh kelihatan berserabut dan hilang identiti.
Namun, bagi Khairunazwa Abd Samad, 49, sentuhan konsep ‘eclectic decor’ yang menjadi pilihannya membuktikan gabungan pelbagai elemen masih mampu menghasilkan kediaman yang harmoni, selesa dan menenangkan.
Kediaman teres dua tingkat milik guru ini dihiasi dengan gabungan elemen Scandinavian, Mediterranean, farmhouse dan moden, namun setiap ruang tetap mempunyai kesinambungan menerusi pemilihan warna, material serta susun atur yang seimbang.
Walaupun setiap ruang mempunyai identiti tersendiri, dia memastikan keseluruhan kediaman masih mempunyai kesinambungan supaya tidak kelihatan terlalu sarat atau bercelaru.
Bagi mewujudkan suasana tenang, Khairunazwa banyak menggunakan warna putih sebagai asas sebelum dipadankan dengan tona kayu semula jadi, rotan, pastel lembut, tumbuhan hijau serta bunga sebagai penyeri di setiap sudut rumah.
Ruang tamu misalnya tampil ringkas tetapi elegan menerusi gabungan sofa berwarna cerah, langsir rona lembut, perabot rotan serta pencahayaan semula jadi yang menjadikan ruang itu tampak lebih luas dan nyaman.
Di dapur pula, kabinet merah jambu lembut dipadankan dengan kemasan kayu, jubin bercorak klasik serta kelengkapan berwarna emas yang menghasilkan suasana ala rumah desa moden tanpa kelihatan keterlaluan.
Bilik tidur utama pula menampilkan elemen rotan pada katil dan perabot, dipadankan dengan cadar bercorak ringkas serta pencahayaan lembut yang memberi suasana santai seperti berada di resort.
Tidak ketinggalan, sudut kerja dihias dengan rak kayu, pegboard, tanaman hiasan dan aksesori kecil yang bukan sahaja berfungsi, malah memberi inspirasi ketika melakukan tugasan.
Malah, ruang luar kediaman turut diberi perhatian apabila dihiasi pokok bunga kertas mekar, pintu berwarna biru serta sudut santai yang diinspirasikan daripada konsep Mediterranean sehingga menjadi antara lokasi kegemarannya untuk berehat.
Menurut Khairunazwa, dia sengaja memilih konsep eklektik kerana tidak mahu mengehadkan kreativiti kepada hanya satu gaya dekorasi.
“Saya memang minat pelbagai konsep. Jadi saya tidak terikat pada satu gaya saja.
“Kalau cantik di mata, saya akan gabungkan semuanya hingga jadi ruang yang buat saya rasa gembira setiap hari,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan idea dekorasi diperoleh daripada Instagram sebelum disesuaikan mengikut keluasan rumah serta keperluan keluarganya.
“Saya lebih fokus pada keserasian warna, bentuk perabot dan keseimbangan keseluruhan ruang.
“Walaupun konsep bercampur, semuanya perlu nampak sepadan dan tidak terlalu sarat,” katanya.
Menurutnya, semua proses renovasi dan dekorasi dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman kerana lebih puas apabila setiap ruang mempunyai sentuhan peribadi.
Katanya, kerja mengubah suai rumah dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan sejak pandemik Covid-19.
“Saya tidak kumpul atau buat semuanya sekali gus.
“Bila ada bajet lebih, saya tambah sedikit demi sedikit. Jadi kosnya memang terkumpul dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.
Walaupun kediaman itu kini hampir memenuhi impiannya, Khairunazwa berkata, masih terdapat beberapa penambahbaikan yang ingin dilakukan termasuk menyiapkan kabinet dapur kering.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur. Impian ini tercapai sedikit demi sedikit, bukan sekali gus. “Sebab itu saya lebih menghargai setiap perubahan yang ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




