PBB, FIFA digesa perang habis-habisan isu perkauman

PBB, FIFA digesa perang habis-habisan isu perkauman

Rio De Janeiro: Badan hak asasi manusia tertinggi Brazil menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan FIFA mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras perkauman selepas beberapa pemain, termasuk bintang Perancis, Kylian Mbappe menjadi sasaran penghinaan sepanjang Piala Dunia 2026.

Kejohanan yang akan melabuhkan tirainya selepas final antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi Isnin ini, dicemari pelbagai insiden berunsur perkauman yang berlaku di stadium, media sosial dan turut membabitkan ahli politik.

Seorang senator Paraguay mengeluarkan kenyataan menghina Mbappe, manakala bekas Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, mempertikaikan kewarganegaraan beberapa pemain Perancis.

Pada masa sama, pemain berkulit hitam skuad Belanda menjadi mangsa serangan kebencian di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Maghribi.

Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan Brazil mengecam apa yang disifatkannya sebagai “corak rentas negara yang memperlihatkan perkauman berstruktur, diskriminasi kaum dan ucapan kebencian” sepanjang Piala Dunia 2026.

Dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP, badan itu menggesa PBB dan FIFA memastikan tiga negara tuan rumah – Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan susulan terhadap setiap insiden perkauman.

Presiden majlis itu, Ivana Leal berkata berdasarkan data FIFA, daripada lebih enam juta hantaran media sosial yang dipantau sepanjang kejohanan, sebanyak 89,000 mengandungi kandungan berunsur penghinaan, termasuk ribuan mesej berbaur perkauman.

Jumlah itu lebih 13 kali ganda berbanding kejohanan Piala Dunia 2022.

“Piala Dunia menghimpunkan jutaan manusia dan sepatutnya menjadi medan pertemuan antara pelbagai bangsa dan budaya.

“Data ini membuktikan bahawa perkauman masih kekal sebagai cabaran global yang perlu ditangani bersama,” kata Leal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top