Ketiadaan Azizulhasni buka peluang kepada pelumba muda

Ketiadaan Azizulhasni buka peluang kepada pelumba muda

SEREMBAN: Pasukan lumba basikal trek negara dilihat mampu memberi saingan di Sukan Komanwel Birmingham yang bermula akhir bulan ini.

Timbalan Chef de Mission (CDM, Gerrard Clair Monteiro berkata, tanpa kelibat jaguh sukan berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang baharu pulih daripada rawatan jantung, pasukan itu perlu meneruskan perjuangan dalam kejohanan tersebut.

Katanya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, 26, kini diberi tanggungjawab mengetuai misi memburu pingat untuk pasukan berbasikal trek negara.

“Sebelum ini, Azizulhasni berada pada kedudukan tinggi. Ketiadaan beliau kali ini memberi peluang kepada pelumba muda negara mempamerkan prestasi masing-masing dalam Sukan Komanwel kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kem latihan pasukan berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai dekat sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau menemui kesemua enam pelumba berbasikal trek terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga wanita serta jurulatih kebangsaan, John Beasley.

Selain Muhammad Shah Firdaus, pasukan itu yang akan berlepas ke London terdiri daripada Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan.

Mereka akan mengambil bahagian dalam enam acara di temasya yang berlangsung empat tahun sekali tersebut.

Sementara itu, Beasley meminta semua pelumba itu bangkit dan menunjukkan keupayaan sebenar di kejohanan berkenaan.

Menurutnya, mereka mesti yakin pada diri sendiri, memberi komitmen penuh dan akhirnya mampu untuk meraih pingat pada temasya kali ini.

“Kami ada masa lebih dua minggu untuk meningkatkan latihan dan memperbaiki kelemahan. Saya yakin mereka mampu melakukannya,” ujarnya.

Shah Firdaus Sahrom

Dalam pada itu, Muhammad Shah Firdaus menegaskan dia sudah bersedia menggalas cabaran dan berazam untuk memberikan persembahan yang terbaik pada Sukan Komanwel kali ini dengan memasang cita-cita meraih pingat.

“Tekanan tetap ada. Tetapi berdasarkan pengalaman lalu, saya mampu berlumba lebih baik jika enjoy (menikmati) perlumbaan,” katanya yang baru pulih daripada jangkitan virus Covid-19.