ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes harian COVID-19 yang menghampiri 7,000 hari ini, menunjukkan lonjakan ketara penularan wabak itu dalam komuniti.
Menyifatkan angka itu sebagai membimbangkan, pakar epidemiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan, berpandangan ia menggambarkan ketidakpatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) semakin serius.
Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan UKM itu berkata, situasi diburukkan dengan penularan ‘variant of concern’ (VOC) di Malaysia, khususnya varian Afrika Selatan B.1.351, yang dikhuatiri menyebabkan penularan berlaku lebih pantas.
Merujuk peningkatan kes harian di Selangor melebihi 2,200 semalam, dengan lebih 65 peratus daripada hasil saringan kontak rapat, Mohd Rohaizat percaya ia menunjukkan penularan virus itu berlaku amat pantas dan sudah meluas dalam komuniti.
“Jumlah besar daripada saringan kontak rapat memberi gambaran bahawa penularan COVID-19 sangat pantas dan tersebar luas dalam komuniti ketika ini.
“Apabila bilangan kontak rapat dikesan positif agak ramai, ia memberi gambaran bahawa aspek kepatuhan SOP dalam komuniti adalah rendah.
“Selain keluarga yang tinggal serumah, jangkitan antara kontak rapat berlaku apabila pertemuan secara berkumpulan, antaranya di tempat kerja, dan mereka tidak memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau mengulas lonjakan kes harian yang mencecah 6,806 kes hari ini, yang tertinggi sejak pandemik itu mula dikesan di Malaysia awal tahun lalu.
Ia adalah kali kedua jumlah kes tertinggi dicatatkan dalam tempoh 24 jam, selepas 6,075 kes direkodkan semalam. Kes tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum itu adalah 5,728 pada 30 Januari lalu.
Mohd Rohaizat berkata, lonjakan kes itu boleh dielakkan sekiranya setiap seorang masyarakat berdisiplin dalam mematuhi SOP ditetapkan.
“Jika kita duduk rapat, risiko tinggi untuk dijangkiti jika seorang lagi positif COVID-19. Dengan jarak satu meter, risiko jangkitan berkurang kepada 13 hingga 15 peratus, dan jika lebih satu meter, risiko menurun kepada hanya tiga peratus.
“Dengan pemakaian pelitup muka, kita juga boleh kurangkan risiko menjangkiti sehingga ke tiga peratus. Asas sains ini sudah difahami sejak awal pandemik.
“Namun mungkin kerana sudah hampir setahun setengah kita berdepan wabak ini menyebabkan berlakunya kelesuan pandemik, iaitu masyarakat menjadi alpa dan leka, di samping beberapa faktor lain menyebabkan kurangnya kepatuhan SOP,” katanya.
Beliau menyarankan setiap masyarakat mengambil tanggungjawab bukan sekadar mengamalkan SOP, malah mengambil inisiatif menegur mana-mana individu yang dilihat tidak mematuhi SOP.
“Kita mesti wujudkan budaya norma baharu menegur secara baik individu yang tidak patuh SOP kerana ini kewajipan setiap seorang daripada kita untuk mematuhi SOP,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




