Khabib 'bahan' McGregor

LONDON: Conor McGregor ‘dibahan’ oleh bekas seterunya, Khabib Nurmagomedov selepas tewas di tangan Dustin Poirier.

Jaguh dari Ireland itu berdepan kecederaan kaki pada pusingan pertama pertarungan buat kali ketiga itu sebelum perlawanan ditamatkan.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital dan dijangka perlu berehat lama di luar gelanggang.

Dia enggan menerima keputusan perlawanan itu apabila Dana White mengesahkan perlawanan keempat akan dilangsungkan.

Namun, Khabib mengambil kesempatan untuk menyindir seteru lamanya itu dengan memuji Poirier atas kemenangannya.

Dia berkata: “Kebaikan akan sentiasa menewaskan kejahatan. Sangat gembira untuk @DustinPoirier.

“Saya harap kamu akan memenangi gelaran pada hujung tahun ini.”

Penyokong jelas teruja dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khabib yang kini menjadi jurulatih itu.

Seorang peminat berkata: “McGregor bukanlah idola yang baik untuk sukan ini.

“Apa yang dia tidak faham adalah apabila pertarungan menjadi terlalu peribadi, dia akan tewas. Sebelum ini berlaku dengan Khabib dan kini dengan Dustin. Ia ibarat baik menentang jahat.”

“Ada banyak lagi singa lapar yang menanti takhta itu. McGregor bukanlah dia yang dahulu.”-Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd