Khasiat Minuman Susu untuk Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Lifestyle: Tahukah anda bahawa Piramid Makanan Malaysia menyarankan dua hingga tiga sajian susu dan produk tenusu perlu diambil pada setiap hari. Ia bersamaan dengan tiga gelas susu sehari ataupun satu gelas susu dengan satu cawan yogurt dan satu keping keju sehari.

Ibu bapa biasanya menghentikan pengambilan susu dalam kalangan kanak-kanak sebaik saja mereka melangkah ke prasekolah. Tambahan pula, kemunculan banyak minuman lain di pasaran pada hari ini membuatkan ramai beralih daripada minuman ini.

Selain kandungan kalsium dan protein yang baik untuk tulang dan tumbesaran, pelbagai lagi zat lain yang terkandung dalam susu serta faedahnya kepada kanak-kanak. Kajian menunjukkan zat yang terkandung dalam susu seperti protein dan kalsium berupaya menghalang jangkitan dan kerosakan pada gigi.

Hampir 45 peratus jisim rangka dibentuk pada usia antara 9 hingga 18 tahun dan kumpulan umur itu dicadangkan mengambil sekurang-kurangnya 1,000 miligram (mg) kalsium setiap hari.

Garis panduan Malaysian Nutrien Intake mencadangkan agar kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun mengambil 700 mg kalsium sehari atau kira-kira dua hidangan makanan dalam kumpulan susu setiap hari.

Bagi remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun, mereka digalakkan mengambil lebih banyak kandungan kalsium memandangkan pertumbuhan tulang lebih aktif ketika itu berbanding fasa kehidupan lain.

Walau berapa pun usia anda, susu mengandungi kandungan kalsium serta pelbagai lagi nutrisi penting untuk tubuh dan ia perlu diambil secukupnya. Ia bukan sahaja perlu diambil oleh kanak-kanak malah golongan dewasa hinggalah meningkat usia tua.

Hakikatnya, nutrisi terkandung dalam susu akan memperkuatkan kemampuan dan kesihatan yang baik untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Lifestyle Desk