KHM anjur MJHL 2021 pada Disember

KUALA LUMPUR – Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal pada Sabtu mengesahkan saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 dijadualkan berlangsung pada Disember ini.

Namun, beliau berkata, tarikh kejohanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kejohanan tersebut akan menjadi platform buat pemain muda menonjolkan kebolehan mereka sekali gus menarik perhatian barisan jurulatih kebangsaan untuk dipilih ke Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan.

“Semua jurulatih kebangsaan negara, khususnya yang terlibat dengan pasukan remaja negara akan menggunakan MJHL ini sebagai medan untuk mereka memilih bakat-bakat untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook KHM pada Sabtu.

Subahan berkata, penganjuran kejohanan itu juga sebagai medan permulaan buat pemain remaja tanah air untuk mengasah bakat bagi mempersiapkan pasukan hoki kebangsaan agar dapat bersaing dengan pasukan gergasi dunia sempena kempen Piala Dunia Remaja (Lelaki) 2023.

Beliau turut berharap pasukan yang bakal mengambil bahagian pada kejohanan tersebut dapat mempersiapkan diri bagi membentuk skuad yang mantap dalam tempoh enam bulan sebelum saingan itu berlangsung.

Pada Jumaat, Subahan mengesahkan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Remaja (Lelaki) 2023. – Bernama