
Kim Min-jae (kanan) mengasak penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund semasa pertemuan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Old Trafford pada awal Disember lalu. Foto: AFP
BENTENG kental Bayern Munich, Kim Min-jae dinamakan sebagai pemain terbaik tahunan Korea Selatan untuk 2023.
Ia merupakan penghormatan pertama Min-jae, sekali gus menamatkan dominasi penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min yang meraih gelaran tersebut empat tahun berturut-turut.
Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) mengumumkan pada Selasa bahawa Min-jae memenangi anugerah Pemain Terbaik Lelaki selepas memperoleh 137 mata dalam undian oleh wartawan bola sepak dan ahli jawatankuasa pembangunan teknikal KFA dan jawatankuasa pasukan kebangsaan.
Son yang telah memenangi tujuh anugerah Pemain Terbaik Tahunan, termasuk empat kali berturut-turut dari 2019 hingga 2022, menamatkan saingan sebagai naib juara kali ini dengan 113 mata.



