‘King Gobal’ calon utama ketua Jurulatih Brunei

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengesahkan bahawa dia sedang menjadi calon utama untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei.

Jelasnya, dia merupakan pendahulu antara dua calon lain bagi mengisi jawatan berkenaan.

Difahamkan Persatuan Bolasepak Brunei (NFABD) terlebih dahulu membuka perbincangan bersama bekas jurulatih PKNS FC itu sebelum memberikan peluang kepada jurulatih lain melakukan permohonan.

“Pada awalnya ada perunding daripada FA Brunei berjumpa saya pada Ogos lepas untuk bertanyakan samaada saya berminat atau tidak menjadi ketua jurulatih pasukan Brunei. Saya katakan yang kami boleh berbincang dan perbincangan itu berpanjangan”, katanya.

Rajagobal membimbing skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF pada 2010 dan selepas kontraknya bersama Harimau Malaya tidak disambung pada 2014, dia pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi ketua jurulatih negara lain.

Walaupun Brunei dianggap pasukan kerdil di rantau Asia Tenggara, Rajagobal yakin dia mampu membawa pasukan itu ke pusingan akhir Piala Suzuki AFF 2021.

“Baru-baru ini, pihak pengurusan Brunei FA telah menjalankan temu duga secara talian untuk melihat calon yang sesuai. Mereka bertanyakan soalan mengenai pendapat kami mengenai pemain dan latar belakang pasukan Brunei”, katanya lagi.

“Apa yang saya dengar, mereka akan membuat keputusan pada bulan ini dan akan melihat siapa yang akan dipilih menjadi jurulatih pasukan itu”, tambahnya.

Sebagai ranking, pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan antara dua pasukan tercorot dalam kalangan negara ASEAN bersama Timor Leste yang berada di kedudukan ke-197.

Sumber: Sport Malaya

Akmal Hakim
Sports Desk