Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: FAM nafi laporan Malaysia merancang penarikan diri

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan satu portal bola sepak Kemboja yang mendakwa bahawa skuad Harimau Malaya merancang menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam melalui kenyataan ringkas berkata, laporan media luar negara di laman sesawang https://cambodiafootballnews.com itu adalah tidak benar.

“Kami di FAM tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan itu”, jelasnya ringkas dalam satu pesanan WhatsApp, hari ini.

Laporan media itu menyatakan Malaysia merancang untuk menarik diri ekoran pandemik COVID-19 yang mempengaruhi persiapan pasukan kebangsaan untuk menghadapi kedua-dua kejohanan berkenaan.

Terdahulu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan untuk menunda aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan situasi semasa pandemik COVID-19.

Penangguhan itu melibatkan aksi Harimau Malaya dalam Kumpulan G yang sebelum ini dijadualkan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober, Vietnam (13 Oktober) dan Thailand (17 November).

Sementara itu, Piala Suzuki AFF 2020 yang juga terjejas akibat pandemik COVID-19 kini dijadualkan semula dari 11 April hingga 8 Mei 2021.

Kejohanan itu akan dianjurkan dalam format sepenuhnya iaitu bermain di tempat sendiri dan tempat lawan di seluruh negara Asia Tenggara yang layak.

Sumber: Bernama

Akmal Hakim
Sports Desk