LTdL 2021 sah dibatalkan

Kuala Lumpur: Tanda tanya berkenaan nasib Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) akhirnya terjawab apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan elit di Asia itu dibatalkan penganjurannya dan akan dianjurkan semula pada 2022.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab mengesahkan perkhabaran itu dan menjelaskan keputusan berkenaan dicapai secara sebulat suara ketika mesyuarat khas yang membabitkan pelbagai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam.

Abu Samah menjelaskan PKBM selaku pemegang hak penganjuran LTdL akan memberikan penjelasan terperinci kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan kadar segera untuk memudahkan semua pasukan yang menerima jemputan bagi membuat tindakan susulan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa keputusan membatalkan LTdL 2021 dicapai secara sebulat suara semalam (kelmarin). PKBM bersetuju dengan keputusan ini. Begitu juga KBS. Saya berpendapat inilah keputusan terbaik untuk semua pihak”, katanya.

“Keputusan untuk membatalkan SUKMA 2021 juga sudah dibuat. Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak”, katanya lagi.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan keputusan itu dicapai memandangkan masa sangat suntuk untuk semua pihak membuat persiapan rapi rentetan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini.

Beliau juga mendedahkan bahawa ada percubaan oleh pihak tertentu untuk menganjurkan LTdL 2021 pada September 2021 namun ia berdepan jalan berliku termasuk kesukaran bagi mendapatkan tarikh penganjuran daripada UCI.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk