KKM nilai pemendekkan tempoh kuarantin dengan alasan munasabah

Putrajaya: Individu yang disahkan negatif COVID-19 dan diarahkan kuarantin wajib 14 hari boleh memohon dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memendekkan tempoh kuarantin dengan alasan munasabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata permohonan itu akan dibincangkan jawatankuasa dan penilaian risiko terhadap individu terbabit sebelum kebenaran itu diberikan.
Beliau berkata, berbeza dengan negara lain termasuk negara jiran yang mengenakan tempoh kuarantin wajib tujuh hari untuk kes COVID-19, KKM mengambil pendekatan untuk mengenakan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.
“Menggunakan Seksyen 15 (1) Akta 342 iaitu seorang pegawai diberi kuasa agar kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat bagi tempoh yang difikirkan patut atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain.
“Kalau ada permohonan dihantar kepada kita dan jawatankuasa akan melihat. Kita ada juga memberi pertimbangan untuk memendekkan tempoh contohnya hari ke-12 dan ke-13 berikutan ada yang perlu menduduki peperiksaan atau urusan pernikahan.
“Apa yang pasti, ujian hari ke-13 akan diawalkan ke hari ke-12 atau ke-11. Jika ujian negatif atau tidak bergejala dan penilaian risiko mendapati tiada risiko, barulah kita pertimbangkan menggunakan peruntukan Akta 342. Itulah pertimbangan yang diberikan oleh KKM,” katanya ketika menjawab soalan mengenai kebenaran memendekkan tempoh kuarantin melibatkan individu dari Sabah pada sidang media harian COVID-19, semalam.
Dr Noor Hisham sebelum ini memaklumkan tujuh peratus daripada individu yang pulang dari Sabah dikesan positif pada hari ke-13.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, jika KKM tidak menerima sebarang permohonan, individu terbabit masih perlu meneruskan kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan kementerian itu.
Beliau berkata, antibodi Immunoglobulin M (IgM) hanya akan muncul dalam tubuh pesakit pada hari kelima, manakala Immunoglobulin G (IgG) pada hari ketujuh, dan jika ia tidak dikesan pada hari ke-12, ia juga tidak akan dikesan pada hari ke-13.

 

ZA137 Malay News
National Desk