KKR arah taksiran kerosakan jalan, cerun akibat bencana di Sabah

KKR arah taksiran kerosakan jalan, cerun akibat bencana di Sabah

am@hmetro.com.my

Sandakan: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengarahkan pegawai untuk melaksanakan taksiran kerosakan jalan dan cerun akibat bencana di Sabah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, taksiran perlu dibuat membabitkan jalan persekutuan, lebuh raya dan cerun.

Setakat ini, katanya, belum ada jumlah diperolehi bagi anggaran kerosakan yang perlu diperbaiki.

“Kita belum dapat angkanya sebab ia baru berlaku tapi (pegawai) sudah diarahkan untuk menyatakan berapa jumlah kerosakan termasuk cerun yang perlu diperbaiki kerana ia di bawah Kementerian Kerja Raya.

“Kita amat sedih kerana 13 orang meninggal dunia akibat cerun yang runtuh (dalam kejadian baru-baru ini). Pegawai kita masing-masing sedang membuat taksiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan semula sekolah daif Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih Baru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.

Ahmad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk menyelenggara laluan Lebuhraya Pan Borneo membabitkan Pakej 25 dan Pakej 26 kira-kira sepanjang lapan kilometer bermula dari Bulatan Batu 6 sehingga ke Bulatan Sukau di Kinabatangan.

Beliau berkata, laluan berkenaan sepatutnya diselenggara lebih awal oleh syarikat konsesi yang dilantik untuk memudahkan pengguna di pantai timur negeri ini.

“Ia patut diselenggara lebih awal oleh kontraktor tetapi kelihatannya mereka tunggu saya turun padang, baru hendak melaksanakan.

“Ada sedikit pelaksanaan, tapi saya sudah arahkan agar disegerakan (pembaikan), jangan ada pelbagai alasan,” katanya.

Ahmad berkata, beliau sendiri melalui jalan berkenaan dan melihat keperluan untuk segera dibaiki demi menjamin keselamatan pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top