zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC (KL City) meleburkan rekod tanpa kalah Penang FC dalam sembilan perlawanan selepas menumpaskan Harimau Kumbang 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Malam gemilang skuad City Boys bermula dengan jaringan pembukaan pada minit ke-35 yang terhasil menerusi sepakan percuma menarik pemain kelahiran Brazil, Paulo Josue.
Kapten KL City berusia 32 tahun itu mengukuhkan kedudukan buat skuad kendalian Bojan Hodak apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas bola terkena tangan pertahanan Penang, Rafael Vitor.
Penang bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 11 minit kemudian menerusi rembatan Danial Ashraf Abdullah yang terkena pertahanan KL City sebelum menerjah jaring.
Ketika Penang rancak mengasak untuk memburu gol penyamaan, sebaliknya Josue melengkapkan hatrik apabila menyudahkan bola hantaran Zhafri Yahya pada minit ke-88, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya KL City.
Kali terakhir terakhir Penang mengalami kekalahan pada 9 Mac lalu selepas tumpas 0-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan selepas itu mereka merekodkan lima kemenangan serta empat seri.
Kekalahan itu menyaksikan Penang jatuh ke tangga keempat dengan mengumpul 22 mata, manakala KL City pula naik ke kedudukan keenam dengan 16 mata selepas 12 perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




