Eogene cipta kejutan mara ke separuh akhir Terbuka Macau

Eogene cipta kejutan mara ke separuh akhir Terbuka Macau

PETALING JAYA: Kemaraan pemain muda, Eogene Ewe ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau, hari ini, sedikit sebanyak telah mengubat kekecewaan peminat terhadap prestasi suram sektor perseorangan lelaki Malaysia.

Pemain berusia 21 tahun yang menghuni ranking ke-80 dunia itu mencipta kejutan besar ke atas pilihan kedua, Jason Teh dari Singapura 21-9, 21-19 dalam masa 39 minit pada suku akhir.

Eogene yang tidak pernah menewaskan Jason dalam dua pertemuan lalu, akhirnya berhasil mengalah pemain No. 31 dunia itu dengan rekod pertemuan kini dirapatkan kepada 1-2.

Anak jati Perak yang kali pertama mara ke separuh akhir pada kejohanan berstandard Super 300 itu, esok, bakal berdepan wakil China, Hu Zhe An.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, di atas kertas Eogene tidak memiliki kelebihan kerana Zhe An pernah menewaskannya sebanyak dua kali sebelum ini.

Namun, jika prestasi baik sewaktu bertemu Jason dikekalkan, maka, tidak mustahil Eogene mampu melakar kejutan ke atas pemain yang berada di tangga ke-48 dunia itu.

Selain Eogene, wakil negara yang turut mengisi slot separuh akhir adalah dua beregu lelaki, satu beregu wanita dan satu gandingan campuran.

Dalam suku akhir beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang diletakkan sebagai pilihan kedua tidak berdepan masalah membenam pasangan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Moon In Seo 21-14, 21-16 dalam masa 47 minit.

Pasangan No. 23 dunia itu yang kali pertama mara ke separuh akhir, musim ini, bakal menghitung pertemuan dengan beregu ke-84 dunia, Bao Li Jing-Cao Zi Han dari China.

Kedua-dua beregu tidak pernah bertembung dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, pasangan ke-73 dunia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan pertama, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 14-21, 21-11, 24-22 dalam masa 57 minit.

Kejayaan menjejakkan kaki ke separuh akhir pada kejohanan Super 300 itu adalah pencapaian terbaik Hang Yee-Eng Cheong dan mereka akan menentang pasangan No. 36 dunia, Ali Faathir Rayhan-Devin Artha Wahyudi dari Indonesia bagi memburu tempat ke final.

Rakan senegara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi turut beraksi baik apabila mengetepikan Wei Chun Wei-Yang Po Chih dari Taiwan 22-20, 18-21, 21-13 dalam masa 53 minit dan akan berdepan wakil Korea Selatan, Jin Yong-Lee Jong Min di separuh akhir.

Dalam pada itu, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara beregu campuran selepas menyingkirkan Cho Song Hyun-Jeong Na Eun dari Korea Selatan 21-11, 21-13 dalam masa 30 minit.

Namun, ujian getir menanti mereka di separuh akhir apabila dijadual bertemu beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China. – UTUSAN

Scroll to Top