KL PodFest 2024 muncul pesta audio siar pertama di Malaysia

KL PodFest 2024 muncul pesta audio siar pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Program podcast Keluar Sekejap akan menganjurkan pesta audio siar pertama di Malaysia iaitu KL PodFest 2024 pada 3 dan 4 Februari 2024.

Bakal berlangsung di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJ PAC), festival dengan kerjasama Media Prima itu akan menampilkan barisan podcaster terkemuka dari Malaysia dan Singapura.

Sehingga kini, hampir 20 podcaster telah mengesahkan penyertaan mereka dalam festival sulung yang melibatkan lebih 20 sesi rakaman langsung, bengkel dan aktiviti menarik lain untuk peminat, pendengar dan calon podcaster sepanjang dua hari.

Ketua kurator dan podcaster Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KL PodFest 2024 akan berperanan sebagai platform yang lebih segar untuk pencipta mempamerkan perspektif, cerita dan bakat unik mereka.

“Festival ini bertujuan untuk memupuk kreativiti, dialog silang budaya dan peluang ekonomi dengan menarik peserta tempatan dan antarabangsa sekali gus menyumbang kepada penggayaan budaya dan keterlihatan global untuk Malaysia dan jirannya.

“Misi kami adalah untuk merapatkan jurang antara podcaster dan khalayak dengan mengalu-alukan pendatang baharu ke dalam bidang perkongsian idea dan siar audio.

“Dengan pelbagai genre daripada hal ehwal semasa kepada gaya hidup dan sukan, KL PodFest 2024 akan menjanjikan pengalaman inklusif untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media KL PodFest 2024 di PJPAC di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.

Festival itu menawarkan harga berpatutan pada RM30 untuk pas sehari, RM50 (hujung minggu) dan RM60 (pas khas) bagi tempat duduk di tayangan utama bermula 1 Disember ini.

Antara podcast yang akan terbabit pada festival itu adalah Tiber, Malam Seram, Financial Faiz, OKLETSGO, Mr Money TV, SneakerLAH, Mamak Sessions by Jinnyboy, The Amin Idris Show, TTYL, Head Over Heels by Maggy Wang, Balls Deep by The Takeaway, Table Talk by The Takeaway dan Ajar.

Barisan podcast dan jadual penuh akan diumumkan pada 15 Januari depan.

Sementara itu, Nazri berkata, podcast kini bukan satu benda baharu dalam dunia penyiaran radio dan pihaknya melihat bagaimana dua bidang itu saling berkaitan.

“Perjalanan kami dengan podcast dipaparkan di platform Audio+ dan laman web rasmi merangkumi lebih 148 judul yang terdiri pelbagai bahasa dan topik, mencerminkan komitmen kami terhadap medium yang sedang berkembang ini.

“Jadi, KL PodFest 2024 bukan sekadar festival tetapi ia adalah peristiwa penting dalam perjalanan buat kami,” katanya.

Awal Mac tahun ini, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melancarkan siaran pertama podcast, Keluar Sekejap di saluran YouTube yang kini berjaya menarik ramai pendengar.

Sebelum itu, Khairy berdepan tindakan pemecatan daripada UMNO selepas dikatakan telah melanggar undang-undang disiplin parti.

Selain beliau, Sharil juga antara individu yang menerima tindakan daripada UMNO apabila beliau digantung selama enam tahun.

Dalam pada itu, kedua-dua mereka sebelum ini menegaskan bahawa platform berkenaan tidak akan digunakan untuk melepaskan ‘dendam’ politik.

Siaran podcast ‘KeluarSekejap’ dibuat setiap minggu dan bersiaran selama setengah jam. – MalaysiaGazette