KLN cari pengesahan penemuan mayat ada kaitan kumpulan Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Nepal berhubung penemuan mayat seorang warga Nepal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rombongan disertai rakyat Malaysia dalam tragedi banjir yang melanda sempadan Nepal-Tibet minggu lalu.

Wisma Putra berkata, KLN mengambil maklum laporan tular mengenai seorang individu dilaporkan mempunyai kaitan dengan satu kumpulan yang terjejas akibat bencana banjir kilat di Nepal.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan di Nepal.

“KLN tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenai laporan tersebut sementara proses pengesahan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KLN akan terus mengutamakan penyaluran maklumat yang telah disahkan mengenai kes individu secara langsung kepada waris.

“KLN dengan hormatnya memohon kerjasama pihak media untuk memberi ruang kepada proses ini dan menghormati privasi keluarga yang terlibat.

“Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada umum akan disampaikan setelah maklumat berkenaan disahkan,” katanya.

Sebelum ini, satu mayat dipercayai warga Nepal didakwa daripada rombongan Leaf Holidays yang turut disertai 23 rakyat Malaysia ditemukan di kawasan Trishuli pada Ahad.

Mayat berkenaan ditemukan kira-kira 75 hingga 80 kilometer dari lokasi terakhir kumpulan itu diketahui.

Wakil waris, Dr. R Manivannan dilaporkan berkata, pihak berkuasa kini menunggu waris bagi proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.

Menurutnya, maklumat tidak rasmi berhubung penemuan mayat itu diterima daripada ejen di Nepal selepas gambar mangsa berkenaan didakwa menyerupai salah seorang anggota rombongan terbabit. – UTUSAN

Scroll to Top