
Jenazah al-Haddad bersama isteri dan anak perempuannya.
GAZA – Hamas mengesahkan Ketua sayap ketenteraannya, Izz al-Din al-Haddad terbunuh dalam satu serangan Israel di Gaza pada Jumaat, lapor Al-Jazeera.
Hamas mengecam tindakan Israel yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan khianat dan pengecut’ terhadap al-Haddad yang mengetuai Briged Al-Qassam, menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Jumaat memaklumkan bahawa tenteranya telah menyasarkan dan membunuh al-Haddad yang digelar mereka sebagai salah seorang ‘arkitek’ serangan 7 Oktober 2023.
Hamas memaklumkan al-Haddad terbunuh bersama isterinya, anak perempuannya serta beberapa orang awam Palestin lain.
Serangan Israel itu menyasarkan kawasan kejiranan Remal di barat Bandar Gaza.
Wartawan Al Jazeera, Ibrahim Al Khalili yang melaporkan serangan membunuh al-Haddad itu mencetuskan ‘panik’ apabila puluhan penduduk Palestin terpaksa melarikan diri daripada kebakaran yang memusnahkan bangunan kediaman berkenaan.
Hamas menyatakan pembunuhan al-Haddad merupakan pelanggaran terbaharu Israel terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza selain meneruskan pencerobohan berterusan terhadap orang awam tidak bersalah di wilayah itu.
Menurut kumpulan tersebut, serangan seumpama itu membuktikan sifat jenayah dan fasis Israel.
“Ia menunjukkan sikap Israel yang tidak mengendahkan undang-undang serta konvensyen antarabangsa selain cubaan gagal untuk memaksakan realiti politik dan ketenteraan yang tidak mampu dicapai melalui kekerasan,” menurut kenyataan itu.
Pergerakan Mujahideen Palestin bersama sayap tenteranya, Briged Mujahideen turut berkabung atas kematian al-Haddad.
Kumpulan itu berkata, tindakan pengecut rejim Zionis tersebut tidak akan melemahkan semangat kumpulan penentangan Palestin.
Disember lalu, Israel membunuh komander kanan Hamas, Raed Saad yang ketika itu merupakan timbalan kepada al-Haddad, dalam satu serangan yang turut mencederakan sekurang-kurangnya 25 orang.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan jumlah kematian akibat serangan Israel meningkat kepada 870 orang, manakala 2,543 lagi cedera sejak gencatan senjata bermula Oktober tahun lalu.



