
Suasana di luar dan dalam Persada Johor sibuk sejak pagi dengan kehadiran perwakilan serta penyokong Pakatan Harapan.
JOHOR BAHRU – Suasana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pagi ini mula dipenuhi orang ramai seawal jam 7.30 pagi sempena Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang menghimpunkan ahli serta pimpinan parti komponen dari seluruh negara.
Tinjauan mendapati beberapa bas dilihat berada di luar perkarangan pusat konvensyen bagi membawa perwakilan dan penyokong dari pelbagai negeri.
Keadaan di lokasi turut dikawal anggota keselamatan bagi memastikan kelancaran pergerakan peserta yang hadir sejak awal pagi, manakala kaunter pendaftaran dipenuhi orang ramai dengan kehadiran peserta yang terus meningkat menjelang acara utama berlangsung.
Konvensyen berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 5,000 peserta melibatkan pimpinan dan ahli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah.

Kaunter pendaftaran terus menjadi tumpuan ahli.
Ketika ini, program dimulakan dengan sesi podcast melibatkan sayap Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan sebagai pembuka tirai konvensyen berkenaan.
Mengikut tentatif program, konvensyen dijadual diteruskan dengan ucapan pimpinan utama PH sebelum kemuncak acara membabitkan amanat Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada sebelah petang pula, satu ceramah perdana dan rapat umum dijadual berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang dijangka bermula sekitar jam 5 petang.



