Barcelona: Tindakan Julian Alvarez menyuarakan secara terbuka hasratnya untuk meninggalkan Atletico Madrid tidak disenangi rakan sepasukannya, kata pemain tengah Sepanyol, Alex Baena dalam temu bual radio pada malam Isnin.
Penyerang Argentina itu secara terbuka mendedahkan pada Jun lalu bahawa dia sudah berbincang dengan pihak kelab mengenai masa depannya dan berpendapat “perpindahan adalah keputusan terbaik untuk semua pihak”, selain menyatakan hasratnya untuk merealisasikan impian.
Presiden Barcelona, Joan Laporta mengesahkan pada Ogos bahawa kelab itu berminat mendapatkan khidmat Alvarez.
Bagaimanapun, Atletico enggan melepaskan pemain berkenaan dalam saga perpindahan yang mendominasi tajuk utama sukan di Sepanyol sepanjang musim panas lalu.
“Agak pelik apabila seorang rakan sepasukan secara terbuka menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab. Perkara itu tidak diterima dengan baik oleh kami,” kata Baena kepada stesen radio Cadena SER pada malam Isnin.
“Saya boleh memahami jika seseorang pemain mempunyai keraguan apabila kelab seperti Barcelona atau Real Madrid datang menawarkan peluang.
Namun, cara dia mengendalikan perkara itu yang benar-benar menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kami di Atletico.
“Alvarez sudah memohon maaf kepada penyokong Atletico pada Oktober lalu berhubung kenyataannya itu. Walaupun sorakan mengejek yang ditujukan kepadanya di Stadium Metropolitano pada awal musim semakin reda, masih kedengaran reaksi negatif daripada penyokong Atletico.
“Kami akan tetap menyokongnya tanpa mengira apa juga keputusan yang dibuat. Perkara paling penting ialah dia masih bersama kami sekarang dan kami perlu menunjukkan sepenuh kasih sayang kepadanya,” kata Baena.
Dalam perkembangan sama, pengurus Atletico, Diego Simeone pada sidang media Ahad lalu berkata kelab itu akan menunggu sehingga Alvarez kembali menemui prestasi terbaiknya kerana “dia pemain hebat dan kami menyayanginya”.
Pengarah Sukan Barcelona, Deco mengesahkan pada September lalu bahawa kelab itu pernah mengemukakan tawaran untuk mendapatkan Alvarez pada jendela perpindahan musim panas.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa “Julian adalah kisah silam” ketika cuba menamatkan spekulasi mengenai perpindahan penyerang itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd