am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian berhubung dakwaan kewujudan komplot menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan yang didedahkan baru-baru ini.
Beliau berkata, memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan negeri itu bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebarang penilaian mengenai isu berkenaan wajar diserahkan kepada pengundi.
“Kita dah membubarkan Dewan (DUN). Biar rakyat buat penilaian dan buat keputusan.
“Rakyat mempunyai mata untuk melihat apa yang berlaku dan saya biarkan rakyat buat penilaian.
“Biarlah rakyat menjadi (judge) hakim terhadap apa yang berlaku,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Program CERMAT MADANI, di Berjaya Times Square Hotel di sini, hari ini.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.
Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.
Dalam perkembangan sama, kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih sah dan selamat dari sudut perundangan, meskipun pentadbirannya diuji dengan kemelut legitimasi yang membabitkan institusi adat dan penarikan sokongan politik.
Mengulas lanjut, Anthony berkata beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai dakwaan itu kerana tumpuannya kini kepada PRN.
“Saya tak mahu komen banyak mengenai apa yang berlaku. Kalau apa-apa yang terdedah dan sebagainya termasuk pendedahan daripada BERSATU berkenaan apa yang dirancang mereka dengan PAS dan pihak-pihak lain, saya rasa rakyat akan menilai segala-galanya,” katanya.
Ditanya sama ada beliau kecewa apabila mengetahui mengenai dakwaan komplot itu, Loke berkata, dalam politik seseorang perlu sentiasa mempunyai harapan.
“Dalam politik ini, kita kena ada harapan. Tak boleh kecewa, kena ada harapan,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada keputusan PAS yang memutuskan kerjasama dengan BERSATU memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), beliau enggan mengulas lanjut.
“Itu masalah mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




