Komplot saudara Nabi Yusuf: Permulaan kejahatan Yahudi

MENELUSURI kisah komplot saudara-saudara Nabi Allah Yusuf A.S melalui tadabbur surah Yusuf ayat 7-18, kita akan memperolehi pengajaran yang banyak. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

۞ لَّقَدۡ كَانَ فِی یُوسُفَ وَإِخۡوَتِهِۦۤ ءَایَـٰتࣱ لِّلسَّاۤىِٕلِینَ

“Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (mengenai hal mereka untuk mengambil iktibar).”

(Yusuf: 7)

Kisah yang paling baik adalah kisah yang mempunyai banyak pengajaran. Sebab itu Imam Baghawi ketika mentafsirkan ayat ‘ahsanul qasas’ merujuk terus pada surah Yusuf sebagai surah terbaik kerana sarat dengan pengajaran.

Saya kongsikan 8 pengajaran utama dalam kisah ini. 

1. Prasangka buruk menjadi picu yang membarahkan hasad dan dendam:

إِذۡ قَالُوا۟ لَیُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰۤ أَبِینَا مِنَّا وَنَحۡنُ عُصۡبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِی ضَلَـٰلࣲ مُّبِینٍ

(Yusuf: 8)

Tuduhan bahawa ayahnya (Nabi Yaaqub) tidak berlaku adil dalam memberikan kasih sayang dan melebihkan dua adik bongsu mereka iaitu Yusuf dan Bunyamin. Yang menjadikan ia amatlah buruk kerana salah sangka terhadap ayah mereka hanya menjadi buah mulut sesama mereka tanpa mendapatkan penjelasan yang tuntas daripada si ayah.

Suatu perkara yang sukar untuk diberi sama-rata adalah kasih sayang. Maka tidak sepatutnya kita memahami adil itu mestilah sama-rata, bahkan diberikan mengikut keperluan. Yusuf dan Bunyamin selayaknya diberi perhatian yang lebih kerana masih lagi kecil.

Bukanlah salah Yusuf kerana disayangi lebih oleh ayahnya, tetapi adalah satu yang salah dengki pula kepada orang yang disayangi. Hanya kerana sikap kita yang benci tanpa sebab yang jelas lagi benar, akhirnya ia berterusan merosakkan jiwa kita.

2. Hasad dengki menjadi sumbu kepada tindakan yang tidak rasional lagi emosional:

ٱقۡتُلُوا۟ یُوسُفَ أَوِ ٱطۡرَحُوهُ أَرۡضࣰا یَخۡلُ لَكُمۡ وَجۡهُ أَبِیكُمۡ وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعۡدِهِۦ قَوۡمࣰا صَـٰلِحِینَ

(Yusuf: 9)

Prasangka mereka tidak terhenti setakat di situ, ia membarah menjadi satu pakatan jahat untuk membunuh Nabi Yusuf. Ia bukan tindakan minda separa sedar, bahkan tekad mereka dinyatakan dengan penuh komitmen.

Jiwa yang didorong oleh kebencian, sememangnya sukar untuk membuat pertimbangan yang baik lalu keputusannya juga adalah merosakkan. 

3. Sikap individualistik yang merosakkan umat:

یَخۡلُ لَكُمۡ وَجۡهُ أَبِیكُمۡ

Sikap mementingkan diri adalah penyakit yang menghancurkan umat. Ia hanya mahu semua menjadi miliknya seorang dan tidak mempedulikan nasib orang lain.

Saudara-saudara Nabi Yusuf bertekad mahu menghapuskan Yusuf dengan sangkaan mereka akan mendapatkan semula perhatian sang ayah tanpa memikirkan nasib Yusuf. Pada mereka, apa nak jadi pada Yusuf bukan masalah kami, yang penting nasib kami mesti diutamakan.

Inilah yang dikhuatiri berlaku hari ini, apabila keputusan pemimpin bukan dibuat demi ummat, sebaliknya demi kepentingan sesuatu pihak semata. Tetaplah umat mendapat sengsara dan masalah tidak pernah selesai dan isu berterusan menjadi polemik.

4. Merancang taubat adalah suatu penipuan:

وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعۡدِهِۦ قَوۡمࣰا صَـٰلِحِینَ

Akhir ayat kesembilan surah Yusuf ini menjelaskan perihal perancangan mereka adalah dengan sepenuh hati, bukan masalah mental. Komitmen menghapuskan Yusuf dilapik dengan janji mahu bertaubat menjadi orang baik. 

Ini bermakna, mereka tahu bahawa membunuh adalah satu jenayah besar dan berdosa. Kemudian mereka merancang pula untuk bertaubat sesudahnya. Kata As Syahid Sayyid Qutb, golongan yang merancang taubat bererti mereka merancang penipuan. Seakan-akan memperkecilkan dosa besar apatah lagi menipu Tuhan. Dosa kerana kejahatan membunuh, dosa menipu Tuhan lagi. 

Mereka menyangka ia perbuatan yang baik, bahkan ia perbuatan jahat yang disangka baik. Firman Allah yang bermaksud: 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.”
(Al-Kahf: 103-104)

Taubat dilakukan kerana kealpaan, terlupa, tersilap dan kejahilan. Apabila mengetahui ia adalah jahat tetapi masih melakukannya dikhuatiri ia tidak termasuk dalam kategori taubat yang diterima kecuali dengan sepenuh keinsafan.

5. Bermulut manis tetapi berhati serigala, tiga janji yang dimungkiri.

Golongan yang berkomplot amat gemar bersumpah dan berkata manis. Ia dibuktikan melalui surah Al Munafiqun ayat 1 dan 2.

Allah menjelaskan dalam ayat tersebut perihal golongan Munafiq yang berkomplot di belakang Baginda S.A.W tetapi sering bersumpah di hadapan Nabi dan umat Islam dengan kata-kata yang manis.

Ia bertujuan mendapatkan sokongan orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar dan seterusnya memastikan kerja jahat mereka berjalan lancar. Dalam kisah ini, Allah menzahirkan tiga janji-janji manis anak-anak Nabi Yaaqub terhadap Yusuf, iaitu:

i. Akan sentiasa menasihati dengan nasihat yang baik.
ii. Akan menjaga Yusuf sebaik-baiknya.
iii. Akan melindungi Yusuf dari segala bahaya.

Tiga janji manis ini disebut di hadapan Nabi Yaaqub yang akhirnya melunturkan hati beliau untuk melepaskan Yusuf bersama mereka. Ada riwayat yang menyebutkan, ketika Yusuf sudah jauh dari pandangan ayahnya, ketika itulah mereka menampar, memukul dan memaki hamun Yusuf semahu-mahunya tanda kejayaan memperdaya sang ayah.

6. Berbohong dan melaziminya adalah sifat golongan berkepentingan.

Mereka yang suka berbohong dan akhirnya menjadikan ia satu kelaziman adalah sifat golongan pragmatik. Apa-apa yang mendukung kepentingannya, akan diolah supaya dilihat releven dan logik.

Saudara-saudara Yusuf berulang kali membohongi ayahnya dan Yusuf sendiri. Cerita Yusuf lebih disayangi merupakan cerita bohong pertama yang dibuat, kemudian bersambung pula dengan bohong Yusuf dimakan serigala, berbohong lagi dengan baju Yusuf dilumur darah palsu (binatang). Apabila mereka tahu Yusuf selamat dalam perigi, sekali lagi menipu bahawa ia adalah budak suruhan dan dijual dengan harga yang rendah. Dan ia menjadi sebati hinggalah apabila Yusuf sudah besar dan menjadi Menteri pun, masih lagi meneruskan pembohongan mereka.

Berbohong menjadi perlambangan kecerdikan apabila orang lain terpedaya dengannya. Malanglah bagi pemimpin yang meniru sikap Yahudi yang berterusan berbohong demi kepuasan sendiri.

7. Kejahatan berlaku dengan Izin Allah, ia juga terungkai dengan izinNya.

Allah izinkan perbuatan komplot terhadap Yusuf berlaku, walhal boleh sahaja mewahyukan kepada Nabi Yaaqub sejak dari awal untuk mematahkan komplot tersebut. Dan akhirnya Allah jualah yang mentakdirkan ia terungkai dengan jalan cerita yang amat mendidik.

Ternyata kerja agama itu tidak mudah dan singkat jalannya. Ditambah pula dalam kita mengajak orang kepada kebaikan, ada pula yang menyeru kepada jalan sebaliknya. Manusia dikurniakan akal untuk berfikir, dalam masa yang sama juga dikurniakan nafsu dan didorong pula oleh hasutan syaitan.

8. Keyakinan dan kesabaran orang beriman kunci kejayaan:

…..فَصَبۡرࣱ جَمِیلࣱۖ وَٱللَّهُ ٱلۡمُسۡتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

(Yusuf: 18)

Tidak ada kunci yang penting buat orang beriman selain memiliki keyakinan dan kesabaran dalam melalui mehnah hidup.

Keyakinan Nabi Yaaqub bahawa anaknya masih hidup dan selamat, bukanlah sangkaan kosong, sebaliknya ilham dari Allah dengan beberapa maklumat yang menjadi petunjuk. Tetapi ia tidak dinyatakan dengan jelas sebagai gambaran untuk kita bahawa petunjuk itu perlu dicari dengan teliti dan bersabar.

Barangkali masih banyak lagi pengajaran yang boleh dikutip dan disesuaikan dengan realiti hari ini. Ini hanya sebahagian kecil untuk panduan kita bersama. Al-Quran mendidik kita untuk tidak bertindak dengan mendahulukan emosi. 

Kata Dr Solah, kalaulah generasi nenek moyang Yahudi sudah sebegini (terkecuali para Nabi Bani Israel dan mereka yang soleh), maka bagaimana pula dengan cucu-cucunya? Ternyata hari ini umat sedang melihat sendiri akan kejahatan tangan golongan Yahudi. 

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 20/5/2021

Rujukan:
As Syakhsiah Al Yahudiah min Khilalil Quran Dr. Solah Abdul Fattah Al Khalidi