mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penangan kemunculan mereka di Konsert GenKRU baru-baru ini, kumpulan rap wanita popular era 90-an, Feminin tidak menyangka kembali menjadi sebutan.
Malah, ramai yang meminta Feminin mengadakan persembahan atau konsert selepas ini.
Anggotanya, Asfarina Muhamad atau As, 50, berkata, setakat ini mereka belum terfikir apa-apa lagi mengenai persembahan seterusnya.
“Tak tahu lagi. Insya-Allah. Benda-benda macam itu tak tahu lagi. Lepas habis hari itu, saya pun tak ada terfikir apa-apa lagi,” katanya.
Dalam Konsert GenKRU hari keempat itu, Feminin yang tampil dengan tiga anggota iaitu As, Along dan Watie menyanyikan lagu popular mereka, Untukmu. Namun, dua lagi anggota asalnya, Yatie dan Deq Nor tidak bersama mereka pada malam itu.
As berkata, pembabitan mereka sebenarnya adalah pada saat-saat akhir selepas dia mendapatkan persetujuan daripada pengasas dan bekas pengurus Feminin, Edd Razhe dan suaminya, Azman Adnan yang juga bekas bintang bola sepak kebangsaan.
“Sebenarnya memang mereka dah lama nak tapi saya tak berani nak cakap apa-apa. Maklumlah apa-apa keputusan kena tanya abang Edd.
“Lepas itu kena tanya Man (suami). Bila mereka kata okay, baru saya boleh beraksi. Kalau mereka kata tak okay, tidaklah jawabnya. Kena dapatkan restu juga.
“Bagi saya apa-apapun benda itu perlu. Saya macam manapun sampai sekarang ingat jasa abang Edd yang menjaga kami dari usia belasan tahun lagi,” katanya kepada Harian Metro.
As berkata, dia tidak akan sesekali membelakangkan Edd walaupun hanya membabitkan perkara kecil.
“Tak boleh sebab tak biasa buat begitu. Mesti tanya dia juga sebab dia yang bertanggungjawab cungkil bakat kami. Kalau membelakangkan dia, rasa tak sedap hati.
As berkata, jika ada yang menawarkan persembahan untuk Feminin selepas ini, dia juga akan menyerahkan kepada Edd dan suaminya untuk memberi kata putus.
“Kalau mereka kata okay lagi, okaylah. Kalau mereka kata tak payahlah, hari itu saja cukup, maka cukuplah. Macam itu saja senang, sebab saya pun tak nak pening-pening kepala.
“Kita dah berumur ini kalau boleh elaklah benda-benda macam itu kan. Kalau kedua-dua mereka setuju saya kena tanya anggota lain juga,” katanya.
As berkata, dia tidak menafikan memang seronok apabila Feminin kembali jadi sebutan sekali gus mengembalikan nostalgia lama.
As gembira mengenangkan peminat yang ada serta dapat berjumpa semula kawan-kawan lama dalam industri seni.
“Itu sebenarnya yang buat seronok. Mengenangkan balik lagu yang dah lama kita tak nyanyikan dan dinyanyi balik selepas 28 tahun. Ia mengembalikan memori sebenarnya.
“Itu yang buat kita rasa macam dihargai. Lebih kurang macam itulah perasaan kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



