am@hmetro.com.my
Bukit Jalil: Pada usia 67 tahun, penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Amy Search tetap berjaya memukau lebih 4,000 penonton dengan persembahan mantap pada konsert solo pertamanya yang menggegar Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam tadi.
Meskipun konsert solo pertamanya bertembung dengan perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC (di lokasi bersebelahan), ia bukan penghalang buat peminat setia membanjiri stadium sekali gus memberi sokongan pada penyanyi legenda berkenaan.
Dalam ucapannya, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman juga mengucapkan terima kasih kepada semua peminat setia yang hadir menyaksikan konsert solo yang menceritakan perjalanan lebih empat dekad dalam bidang muzik itu.
“Terima kasih kepada semua peminat yang hadir dalam pelayaran saya sebagai penyanyi pada penghujung karier seni saya pada usia 67 tahun ini.
“Di sebelah ada Johor (merujuk kepada perlawanan bola sepak) dan di sini pun ada anak Johor,” katanya disambut dengan sorakan dari penonton.
Pada konsert itu, Amy menghiburkan peminat menerusi rangkaian 21 lagu dalam persembahan durasi lebih dua jam setengah tanpa henti itu.
Antara lagu popular disampaikan di mana peminat turut sama menyanyi dengannya seperti Gadisku, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Pawana, Saat Yang Ku Idamkan, Kerja Gila, Tiada Lagi dan diakhiri dengan lagu Isabella.
Selain lagu dari bingkisan albumnya, Amy turut menyampaikan lagu dendangan artis lain seperti Suatu Masa (Datuk M Nasir), Halaman Rindu (Lefthanded) dan Sejuta Wajah (Sweet Charity).
Konsert ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ ini menampilkan barisan 13 pemuzik di bawah kendalian penerbit konsert terkenal, Jennifer Thompson.
Antara rakan artis yang turut memeriahkan konsert adalah Datuk Sheila Majid, Ella, Man Kidal, Ning Baizura, Adlin Aman Ramli, Che Puan Sarimah Ibrahim, Azharina, Akim Ahmad dan Aweera.
© New Straits Times Press (M) Bhd