am@hmetro.com.my
Kulim: Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (B) Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, di sini jam 11 pagi, hari ini.
Terdahulu, arwah dibawa dari Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, Perak.
Jenazahnya tiba di kediaman keluarganya di Taman Pegaga, Lunas pada 6.30 pagi untuk penghormatan terakhir buat keluarga dan rakan-rakan Allahyarham.
Jenazah Akmal Wafi kemudian dibawa ke masjid berkenaan pada 10 pagi untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Shahril Adzhar Abu Samah sebelum dibawa menaiki van jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tanah perkuburan.
Jenazah Akmal Wafi kemudian dibawa ke Masjid Tunku Abdul Rahman Putra kira-kira 10 pagi untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Shahril Adzhar Abu Samah
Dalam pada itu, jenazah Allahyarham diiringi dan diusung oleh pasukan pengusung dari FRU untuk dikebumikan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan menyampaikan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham iaitu Annuar Yusof, 55.
Lebih 200 orang hadir yang terdiri daripada akhir keluarga, sanak saudara, rakan-rakan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham yang masih bujang adalah anak sulung daripada lima beradik.
Akmal Wafi adalah antara sembilan anggota lain yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Chikus – Sungai Lampam, di sini awal pagi semalam.
Kemalangan itu turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kesemua mangsa adalah daripada FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dan ketika kejadian trak dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




