norazizah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai barang terlarang atau kontraban, serta daging hidupan liar dianggar bernilai RM7.5 juta menerusi lima operasi sejak 20 Januari lalu.
Kejayaan hasil risikan dan siasatan Cawangan Perisikan/Siasatan Khas (CPSK) Pasukan Gerakan Khas (PGK) menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK), dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Johor dan Selangor.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata kejayaan pertama membabitkan Op Kontraban di Terengganu pada 20 Januari lalu.
“Kita menahan tiga lelaki dan merampas 6,630 batang rokok seludup bernilai RM1.9 juta serta empat kenderaan.
“Tangkapan ini bermakna polis berjaya menumpaskan satu sindiket aktif menjalankan aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok seludup di negeri itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kejayaan kedua pula, katanya membabitkan operasi di Selangor pada 9 Februari lalu dengan empat tangkapan dan rampasan 150 liter diesel bersama sebuah lori dianggar bernilai RM100,500.
“Semua suspek bersama barang rampasan ditahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Pada hari sama, polis menerusi OBK di Selangor, menahan empat lelaki dan merampas 13 kilogram daging hidupan liar bernilai RM1,200 yang dijual di sebuah premis menjual makanan.
Menurut Hazani, OBK dijalankan secara kolaborasi bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi memastikan khazanah negara sentiasa dilindungi.
Terbaru semalam, katanya polis menerusi Op Kontraban menumpaskan satu sindiket memproses dan membekalkan minuman keras tiruan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Johor.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki serta merampas 2,096 liter cecair dipercayai arak tiruan bernilai lebih RM580,000.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan memproses arak tiruan seperti mesin pengedap penutup botol dan mesin penyedut air,” katanya.
Semalam juga CPSK melakukan rampasan rokok seludup terbesar setakat ini menerusi Op Kontraban di Sri Petaling, Kuala Lumpur membabitkan rampasan 2.4 juta batang rokok serta sebuah kenderaan.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM5.06 juta,” katanya.
“CPSK akan terus menjejaki sindiket kontraban dan OBK, selain memastikan kegiatan itu dibanteras ke akar umbi selaras misi ‘Way Forward CPSK PGK’ yang baharu diluluskan Ketua Polis Negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




