am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pelbagai rampasan bernilai hampir RM4 juta direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu bermula Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan itu membabitkan 48,697 operasi yang dijalankan di seluruh negeri, dengan RM268,200 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi operasi berkenaan.
Beliau berkata, operasi dijalankan di 21,103 premis di seluruh negeri iaitu 18,626 di Kuala Terengganu, Dungun (10,826), Besut (8,781), Kemaman (5,994) dan Hulu Terengganu sebanyak 4,470 premis.
“Hasil pemeriksaan kami mengesan sebanyak 559 kes dengan Besut merekodkan kes paling banyak iaitu 111 kes, diikuti Kuala Terengganu (218 kes), Dungun (95 kes), Kemaman (69 kes) dan 67 kes di Hulu Terengganu.
“Daripada jumlah kes, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 merekodkan sebanyak 218 kes, Akta Timbang Dan Sukat 1972 (214 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (70 kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (45 kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (lima kes), Akta Cap Dagangan 2019 (enam kes) dan Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti Piramid 1993 satu kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.
Beliau berkata, sebanyak dua kes sudah disabit kesalahan dan dikenakan hukuman denda berjumlah RM102,500 bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Sementara itu, Saharuddin berkata, sembilan barangan kawalan ditetapkan dalam SHMMP Krismas 2024 berkuat kuasa selama lima hari bermula semalam hingga 27 Disember.
Ia termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China), cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah.
Sehubungan itu, semua pasar raya dan peniaga perlu mematuhi SHMMP termasuk memaparkan tanda harga merah jambu bagi sembilan barangan kawalan serta tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Katanya, sembilan barangan kawalan yang disenaraikan adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China), cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah.
KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan sebarang salah laku atau aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my atau WhatsApp di talian 019-8488000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




