am@hmetro.com.my
Setiu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 15,455 liter diesel dianggarkan bernilai RM44,819.50 di tapak projek pembinaan di Merang, di sini, semalam.
Serbuan Ops Tiris 3.0 dilakukan sepasukan empat anggota penguat kuasa KPDN Besut kira-kira jam 10 pagi hasil risikan selama dua minggu.
Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata, pasukan serbuan berjaya menemukan sebuah tangki simpanan (skid tank) berisi diesel dengan anggaran 15,455 liter dipercayai untuk kegunaan janakuasa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati syarikat pembinaan itu gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan diesel di lokasi kejadian.
“Siasatan kes dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, tindakan juga diambil terhadap pembekal yang membekalkan diesel itu kepada mereka yang tidak memiliki permit selaras dengan peruntukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
© New Straits Times Press (M) Bhd



