kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan bagi terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi koperasi berdaya tahan dan berwibawa apabila mencatatkan prestasi yang semakin memberangsangkan.
Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan pelan rasionalisasi yang berfokus serta komitmen tinggi terhadap tadbir urus yang cekap.
Katanya, usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang positif, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang dilaksanakan itu berteraskan tiga langkah utama iaitu penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan, dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja bertujuan untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang.
Katanya, pelan itu juga bertujuan menyelesaikan permohonan pengeluaran syer tertunggak serta menjana pendapatan mampan jangka panjang yang lebih lestari.
“Walaupun berdepan tekanan aliran tunai, KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan kecekapan pengurusan dan ketahanan asas kewangan KPF yang tidak pernah mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada 1980.
“Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota, bagi tempoh 2022 hingga April 2025, kami menerima sejumlah 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta,” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 18,783 permohonan membabitkan nilai RM319.44 juta berjaya diproses dan dibayar kepada anggota mencerminkan kesungguhan KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab.
Selain itu, permohonan yang masih dalam proses, membabitkan RM372.13 juta dengan 10,376 permohonan, akan terus diselesaikan secara berfasa dan penggiliran, dengan keutamaan diberikan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
