am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membentangkan cadangan pemberian Baucar Buku Madani supaya ia diperluaskan untuk guru pada mesyuarat kabinet akan datang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya bercadang untuk berbuat demikian susulan kejayaan penebusan baucar buku oleh murid yang mencapai 100 peratus termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, berdasarkan angka itu beliau percaya komitmen untuk meneruskan pemberian baucar buku berkenaan bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah tetapi juga guru turut dapat menikmatinya.
“Jadi, kita akan angkat cadangan ini (pemberian Baucar Buku Madani) kepada jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet (akan datang).
“Dalam mesyuarat (kabinet) itu nanti, kita akan melaporkan mengenai kejayaan (pemberian) baucar buku pada tahun lalu yang mencapai penebusan 100 peratus yang ia kejayaan cukup besar walaupun tidak mudah tetapi kita berjaya laksanakan dengan hasil komitmen daripada semua pihak termasuk guru.
“Paling mengagumkan kita juga berjaya melaksanakan penebusan sepenuhnya di kawasan luar bandar yang kita berharap disamping, dapat memperluaskan lagi pada tahun ini, ia juga dapat diperluaskan kepada guru (pada masa akan datang),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, di sini, hari ini.
Bantuan berjumlah lebih RM33.9 juta diberikan kepada 226,004 murid di seluruh sekolah Rendah dan Menengah Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, penebusan sepenuhnya baucar buku itu pada tahun lalu menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan pelajar meningkat.
“Kita nampak dengan penggunaan baucar buku yang ditebus sepenuhnya (oleh murid dan pelajar) memberikan kesan langsung kepada
budaya membaca dan peningkatan pembacaan dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




