Putrajaya: Pemerkasaan pendidikan manusiawi agar semua anak bangsa dapat menerima pelajaran sewajarnya selaras dengan kecemerlangan akademik menjadi hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tahun 2026.
Tanpa meminggirkan golongan kurang bernasib baik, inisiatif bagi tahun ini bakal membawa beberapa penambahbaikan dan pengenalan inisiatif baharu yang mengambil kira suara semua pihak termasuk murid, guru dan komuniti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata reformasi sekolah menjadi cara Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan suara berkenaan untuk menjadi tindakan bermakna sekali gus memastikan ia bukan sekadar perancangan semata-mata.
Beliau berkata, 2025 menjadi saksi kecekapan pengurusan sekolah dapat meningkat apabila sebarang tindakan diambil berpandukan surat di peringkat sekolah yang diberi ruang untuk berkembang.
Justeru, pada tahun 2026, keutamaan KPM masih terus menjaga hak asasi murid dan keperluan guru, pentadbir, serta komuniti.
“Reformasi bermula dengan Kurikulum Prasekolah 2026 termasuk Pendidikan Khas, sebagai langkah awal.
“Kurikulum ini menekankan pengurusan diri, minat membaca, pengenalan teknologi digital, pembelajaran bersepadu, dan pembentukan sahsiah, sambil memastikan anak Istimewa turut mendapat persekitaran selamat dan inklusif,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada warga KPM dan pemegang taruh di kementerian itu, baru-baru ini.
Kakitangan Kementerian Pendidikan hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YB Menteri Pendidikan di Putrajaya. (Foto Mohd Fadli Hamzah/BH)
Tahun ini, menyaksikan sasaran KPM untuk mewujudkan sebanyak 350 kelas prasekolah tambahan termasuk di lapan Kolej Matrikulasi, disusuli 150 buah lagi tahun depan.
Pada masa sama, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 125 juta untuk kerja menambah baik dan penyelenggaraan kelas sedia ada.
Setakat ini, sebanyak 10,197 prasekolah beroperasi di 6,368 institusi termasuk sekolah rendah, menengah, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Selain itu, Fadhlina berkata, sebanyak 17 sekolah baharu akan beroperasi tahun ini, membabitkan dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah, dalam usaha menangani isu sekolah padat dan memberi ruang belajar yang lebih selesa kepada murid.
Bagi memastikan murid menikmati kemudahan pendidikan yang lebih selesa, sebanyak 50 sekolah daif akan dinaik taraf pada tahun ini.
Turut mendapat manfaat sebanyak 1,801 sekolah yang akan dilengkapi dengan peralatan makmal komputer, memastikan guru dan murid mempunyai sumber yang mencukupi untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif manakala 333 sekolah asrama harian akan dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV), meningkatkan keselamatan murid di asrama.
Murid berkeperluan khas juga tidak ketinggalan dalam perancangan bagi 2026 apabila sebanyak 100 kelas Pendidikan Khas baharu dibuka dengan 100 kelas lagi bakal beroperasi tahun depan.
Penuhi murid keperluan khas
Fadhlina berkata, ia bakal memberi peluang lebih ramai murid berkeperluan khas belajar dalam persekitaran yang sesuai dan menyokong perkembangan mereka secara optimum.
Beliau berkata, Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan akan mula beroperasi tahun ini, untuk memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk mengembangkan bakat sukan mereka dalam persekitaran pendidikan yang inklusif dan menyokong.
Selain itu, KPM juga akan meluaskan Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 membabitkan sebanyak tujuh sekolah iaitu tiga pada tahun ini dan empat pada 2027.
“Ini khusus untuk anak-anak di pedalaman, memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti tanpa perlu mengorbankan jarak dan akses,” katanya.
Inisiatif KPM itu khusus untuk anak-anak di kawasan terpencil dalam memastikan mereka dapat menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 5 tanpa perlu berjauhan daripada keluarga atau tercicir akibat faktor logistik.
KPM turut melancarkan Program Khas Pendidikan Manusiawi yang menyasarkan 200 kanak-kanak kaum Penan di Belaga, Sarawak.
Usaha untuk membudayakan amalan membaca turut diperkukuhkan tahun ini melalui pengenalan Mini Kota Buku Cilik selari dengan Kurikulum Baharu Prasekolah 2026.
Fadhlina berkata, tahun ini juga KPM menyediakan peranti Braille untuk anak orang kurang upaya (OKU) penglihatan bagi menyerlahkan potensi mereka.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini mencatat satu kisah kejayaan besar. Melalui Baucar Buku 2024 dan 2025, akses kepada buku mencapai tahap tertinggi dalam sejarah negara.
“Hari ini, murid dan guru di Nanga Ulu dan Kinabatangan menikmati judul yang sama seperti di Melawati dan Petaling Jaya.
“Jarak geografi tidak lagi menentukan peluang membaca. Inilah keadilan pendidikan yang kita perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai kesinambungan, 1 juta buku tulis berasaskan kertas kitar semula disumbangkan kepada murid B40.
Katanya, tahun ini, inisiatif berkenaan akan dimanfaatkan murid terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dengan 40 murid setiap sekolah menerima 10 buku tulis, hasil kerjasama Perbadanan Kota Buku (PKB) dan 27 syarikat korporat.
Tahun ini juga, beliau berkata, sebanyak 30 peratus keuntungan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) atau RM300,000 akan disalurkan khusus kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas menunjukkan, ilmu mesti kembali kepada yang paling memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
