mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini menerima Memorandum Persatuan Pegawai-Pegawai Polis bagi Pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Deklarasi memorandum itu disampaikan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP), Asisten Komisioner Suffian Sulaiman di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini dan turut mewakili Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD).
Turut berlangsung penyerahan memorandum penelitian kewajaran pelaksanaan SSPA PDRM yang disaksikan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari yang mewakili Pengarah Pengurusan di pejabat KPN.
Hadir sama, Deputi Komisioner (DCP) Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Mohd Asri Md Akhir; Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, DCP Ab Rahaman Arsad; Presiden PPRPD Sub Inspektor Abdul Rashid Ali dan wakil PPKP, PPRPD, PRP, Konst Orang Asli dan wakil Unit 69 Komando.
Memorandum itu menzahirkan suara persatuan dalam menyampaikan kegusaran ahlinya demi menjamin kepentingan kebajikan dan perihal perkhidmatan.
Ia juga untuk dipertimbang agar manfaat yang diterima kelak mampu memberi motivasi ke arah memperkasa keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat dan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd